PUTRAJAYA – Memandangkan ada lebih 240 juta umat Islam di Asean, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rantau ini perlu menjadi himpunan ummah yang bersatu padu di Asia Tenggara dan bersuara kepada dunia mengenai konsep kesederhanaan dan toleransi dalam Islam.

Dalam waktu kelam ketika ini, beliau berkata, mesej bahawa Islam adalah agama keamanan, keadilan dan inklusif perlu disebarluaskan.

“Kita berada dalam keadaan unik untuk berbuat demikian,” kata beliau pada¬† pelancaran Festival Masjid Asean (AMF) di sini, hari ini.

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Ashraf Wajdi Dusuki.

Najib menegaskan” “Itu adalah pengkisahan Islam di rantau ini. Ia adalah sesuatu yang kita harus ulangi untuk diri kita sendiri dan kepada orang lain, supaya mereka tidak terpengaruh dengan kepalsuan perjuangan pengganas yang mencemarkan nama Islam dan membawa kematian dan kemusnahan kepada begitu ramai orang.

“Ia satu pengkisahan yang kita mesti aktifkan semula dengan mempelajari semula sejarah kita, berkisar kepada tradisi unik yang dibangunkan di rantau kita di dunia ini, dan masih dibangunkan pada masa ini.”

Berhubung AMF yang julung kali diadakan, Najib berkata ia bertujuan untuk mentakrifkan semula, menyokong dan memperluaskan peranan masjid dalam masyarakat, untuk menangani salah faham tentang agama, dan memberi pemahaman lebih mendalam mengenai agama berlainan yang dianuti oleh 625 juta penduduk.

Beliau berkata, masjid sebagai pusat untuk semua umat Islam bukan sahaja tempat untuk ibadah tetapi juga untuk pendidikan dan sebagai nadi komuniti bagi membantu menyatukan masyarakat – dan bukan hanya umat Islam.

“Umat Islam Asean sedang melipatgandakan dan mencergaskan semula peranan tempat ibadah kami dan memastikan bahawa mereka berada di tengah-tengah masyarakat, membantu untuk memupuk keharmonian dan persahabatan antara semua,” katanya.

Bertemakan “Pengetahuan, Ukhuwah dan Kefahaman”, persidangan sehari itu menghimpunkan cendekiawan, sarjana Islam dan komuniti Asean yang berbilang kaum dan latar belakang budaya untuk memberi kefahaman strategik mengenai manfaat dan peluang yang masjid boleh tawarkan.

Najib berkata, AMF adalah pentas untuk semua sarjana dari 10 negara anggota Asean bertemu atas semangat toleransi, keamanan, kerjasama dan penghayatan bersama dan tempat bagi wakil daripada semua agama berkongsi kebijaksanaan dan ajaran mereka secara kolektif.

“Terdapat peluang untuk meneroka dan untuk belajar, dan kami harap ia akan mewujudkan pemahaman yang mendalam dan memupuk keamanan dan kewujudan bersama. Akan ada peluang untuk mencabar, dan untuk bertanya beberapa soalan yang sukar,” katanya.

Sebagai Pengerusi Asean, Najib  berkata, Malaysia gembira untuk melancarkan satu inisiatif yang bertujuan untuk memperkasa nilai-nilai transformasi masjid dan beliau yakin AMF akan membawa manfaat dan perbezaan yang besar untuk kebaikan masyarakat.- Bernama