Malaysia tuan rumah pertama Festival Masjid ASEAN

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi tuan rumah pertama Festival Masjid ASEAN hari ini (7 Dis). Perhimpunan para ulama dan wakil-wakil dari Asia Tenggara itu bertujuan mentakrifkan semula, menyokong dan meluaskan peranan masjid dalam masyarakat di rantau ini.

Satu peranan yang dibincangkan adalah bagi masjid menjadi hab perpaduan dalam menghadapi tindakan pengganasan yang sering dilakukan atas nama Islam.

Menurut penganjur, kejayaan masjid dalam menghimpunkan rakyat terbukti pada masa lalu, dan dengan itu, ia mahu ASEAN melihat masjid di luar bidang keagamaan bagi 240 juta umat Islam di rantau ini.

Beberapa masjid didakwa menjadi saluran untuk ekstremisme. Di Mesir misalnya, pemerintah dilaporkan memasang kamera CCTV di beberapa masjid untuk memantau dan mengawal khutbah pelampau.

Maka itu, masjid-masjid di Asia Tenggara dilihat boleh menjadi pemangkin dalam mewujudkan persefahaman dan rasa hormat kerana pelbagai etnik dan agama yang wujud bersama di rantau ini.

PERLU BERSUARA TENTANG TOLERANSI DALAM ISLAM

Dalam ucapannya di pelancaran festival itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rantau ini perlu menjadi himpunan ummah yang bersatu padu di Asia Tenggara dan bersuara kepada dunia mengenai konsep kesederhanaan dan toleransi dalam Islam.

Ini, katanya, memandangkan ada lebih 240 juta umat Islam di ASEAN. Dalam waktu kelam ketika ini, tambahnya, mesej bahawa Islam adalah agama keamanan, keadilan dan inklusif perlu disebarluaskan.

“Kita berada dalam keadaan unik untuk berbuat demikian,” kata beliau dalam ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Ashraf Wajdi Dusuki.

Datuk Seri Najib menegaskan: “Itu adalah pengkisahan Islam di rantau ini. Ia adalah sesuatu yang kita harus ulangi untuk diri kita sendiri dan kepada orang lain, supaya mereka tidak terpengaruh dengan kepalsuan perjuangan pengganas yang mencemarkan nama Islam dan membawa kematian dan kemusnahan kepada begitu ramai orang.

“Ia satu pengkisahan yang kita mesti aktifkan semula dengan mempelajari semula sejarah kita, berkisar kepada tradisi unik yang dibangunkan di rantau kita di dunia ini, dan masih dibangunkan pada masa ini.”

– Agensi berita/BERNAMA/nd

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

*

1
×
Salam
Can we help you?